03 Julai 2018

Perdagangan Harian (Day Trading)

Sebuah lagi gaya perdagangan jangka masa pendek. Pedagang harian (day trader) biasanya berdagang cuma sekali sehari dan menutupnya apabila hari tersebut tamat.
Matlamat utama seorang pedagang harian adalah untuk menghasilkan keuntungan di dalam tempoh sehari; mereka tidak gemar memeram posisi aktif semalaman.
Gaya perdagangan ini paling sesuai untuk pedagang FX yang mempunyai banyak masa untuk menganalisa situasi pasaran sepanjang hari dan mengubahsuai posisi mereka bersesuaian dengan turun naik harga dalam sehari. Jika scalping terlalu pantas untuk anda, manakala perdagangan swing trading terlalu perlahan, maka itu bermakna anda seorang pedagang harian.
Seorang pedagang harian harus mempunyai kemahiran menganalisis yang mantap, menggunakan pelbagai indikator dan perkakas teknikal secara aktif. Selain dari itu, beliau juga harus mempunyai latarbelakang ekonomi yang baik untuk boleh mengenal pasti isyarat dagangan fundamental. Di samping itu, beliau harus mempunyai strategi keluar yang benar-benar ampuh untuk menutup posisi dengan pulangan tertinggi di penghujung hari.
Memandangkan pedagang harian kerap membuka dan menutup posisi, mereka biasanya memperdagangkan matawang yang tinggi kecairannya untuk mengawal kos spread.

Contoh pedagang

Contoh yang baik untuk pedagang harian adalah Martin S. Schwartz, lelaki yang keberanian dan kehebatan inteleknya telah memberikan beliau kekayaan dan nama jolokan Pit Bull. Beliau mendapat perhatian seluruh negaranya apabila beliau memenangi Kejuaraan Pelaburan AS pada 1984. Gaya pelaburan harian beliau menjadi kebal pada waktu itu. Beliau tidak pernah menyimpan satu-satu posisi untuk tempoh yang lama. Untuk membuat taruhan, beliau mengkaji indikator teknikal dan menerima signal dagangan dari laporan ekonomi dan lain-lain perkakas analisis teknikal.
Dalam hal berkaitan berita dan data fundamental, kebanyakan pedagang hanya fokus kepada angka sebenar dan kemudian hairan mengapa tindak-tanduk pasaran tidak sejajar dengan pengumuman berita. Marty Schwartz percaya bahawa suatu dagangan itu harus berdasarkan kepada bukan sahaja perangkaan sebenar yang tercetak di tajuk pengumuman ekonomi, tetapi juga kepada reaksi peserta pasaran yang boleh dilihat selepas penyiaran data. Marty menasihatkan para pedagang supaya melupakan tekaan dan fikiran mereka, dan dengar apa yang pasaran sedang cuba sampaikan, kerana matlamat berdagang bukanlah untuk mengesahkan tekaan-tekaan sendiri, tetapi untuk membuat wang.
Pedagang harian kita kerap menggunakan indikator teknikal untuk menduga arah tuju harga. Perkakas analisis kegemaran sepanjang masa beliau adalah MA Eksponen 10 (EMA 10). Instrumen teknikal ini membantu Marty membezakan antara senario bullish dan bearish di dalam perdagangan jangka pendek.

26 Jun 2018

Scalping

Ini adalah antara bentuk perdagangan yang paling popular, terutamanya di kalangan pendatang baru. Ia jenis perdagangan yang rancak, mencabar minda dan mencetus adrenalin.
Objektif utama scalping adalah untuk bergegas berdagang di waktu pasaran paling sibuk, sambar jumlah pip yang kecil dan keluar dari pasaran secepat mungkin. Walaupun pendapatan dari satu dagangan tunggal sangat terhad, pedagang boleh meningkatkan hasilnya dengan melaksanakan berdozen-dozen dagangan sebegitu sepanjang hari. Seorang 'scalper' harus sentiasa tahu bila untuk berhenti kerana terlebih berdagang (overtrading) boleh mengikis baki akaun dengan pantas seandainya beliau terlajak membuat banyak keputusan yang buruk secara berterusan.
Kelebihan utama perdagangan yang sebegini adalah potensi pulangan yang besar (jika anda cukup cepat, cekap dan tangkas untuk melaksana banyak dagangan di dalam tempoh yang sangat singkat). Leveraj membolehkan scalper dengan sumber awal terhad untuk menuai hasil yang besar, tetapi anda harus berhati-hati dengan kerugian besar yang mungkin dialami dari penggunaan leveraj yang tidak sesuai. Satu pip yang diraih boleh membawa banyak wang kepada anda dengan leveraj. Sebaliknya, satu pip yang melawan anda boleh mendatangkan kerugian besar. Jadi ia satu perdagangan yang tidak berapa menentu.
Scalping tidak sesuai dengan mereka yang tidak biasa berdagang di dalam persekitaran berisiko tinggi.
Perdagangan jenis sebegini menuntut kefahaman mendalam tentang platform dagangan anda; anda tidak harus berfikir terlalu banyak tentang prosedur pengoperasian; anda harus memberikan fokus sepenuhnya pada pergerakan harga.

Contoh pedagang


Jika anda tekad mahu berdagang gaya scalping, anda mungkin berminat untuk mendapatkan nasihat profesional dari scalper paling berjaya sepanjang zaman– Paul Rotter. Pedagang ini dilaporkan membuat $65-78 juta setahun sepanjang 10 tahun beliau scalping kontrak-kontrak paling cair di Eurex.
"Saya memang dari dahulu lagi berdagang dengan kerap, adakalanya sehingga 100 dagangan sehari. Saya mencari 3-5 tick sahaja", kata-kata pengakuan dari scalper kita.
Apa yang beliau lakukan unutk mengelak dari terlebih berdagang? Beliau hanya menetapkan had harian untuk keuntungan dan kerugiannya. Sebelum bergegas membuat dagangan, beliau menetapkan had untuk berpada-pada, kerugian maksimum yang beliau mampu tanggung untuk satu-satu hari. Beliau membuka posisi-posisi yang agak berisiko, tetapi bila ia mula melawan, beliau tanpa emosi menutupnya. Beliau sering berkata: "Sebagai pedagang, anda seharusnya tidak mempunyai pendapat. Lebih banyak pendapat anda ada, lebih sukar unutk keluar dari posisi yang kerugian."
Sebaliknya, di waktu beliau terus menerus menang, beliau menjadi benar-benar lebih agresif; beliau mengambil risiko yang lebih besar, dan mengecilkannya di waktu kalah sahaja. Ada masanya benar-benar payah hendak melakukan yang sebegitu. Jadi, Paul Rotter cuba untuk sentiasa ada seseorang di sisi beliau, yang neutral, yang boleh memaksa beliau menutup terminal apabila beliau sudah mencapai takat untuk berpada-pada dan berhenti.
Dagangan beliau bukanlah tanpa arah, beliau sandarkan keputusan-keputusan beliau kepada analisis pasaran. Sebelum membuka terminal, Paul Rotter cuba periksa semua laporan ekonomi yang bakal diumumkan, ucapan tokoh politik berpengaruh dan gabenor-gabenor bank pusat – apa sahaja yang mampu mempengaruhi arah tuju harga – sehinggalah beliau mendapat gambaran penuh pasaran.

22 Jun 2018

Kesilapan-kesilapan lazim trader Forex




“Hanya si tolol yang belajar dari kesilapan sendiri, orang yang pintar belajar dari kesilapan orang lain.“

Pernahkah anda dengar mutiara kata ini?
Kami telah kumpulkan kesilapan-kesilapan paling lazim dilakukan para pedagang. Elak dari mengulangi kesilapan anda sendiri, belajar dari kesilapan orang lain! 
"Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk kegagalan "

Semua orang tahu bahawa ianya agak sukar untuk melakukan sesuatu tanpa merancang. Bagi kami ia lebih teruk dari itu: ianya mustahil untuk berdagang tanpa sebuah perancangan. 
Sebuah pelan perdagangan (trading plan) adalah sebuah set peraturan yang terdiri daripada strategi perdagangan anda dan strategi pengurusan modal. Sebuah pelan akan membantu anda menentukan bila untuk memasuki suatu dagangan, cara-cara untuk keluar dari dagangan yang tidak berjaya, masa untuk mencapai sasaran anda, amaun modal yang hendak dirisikokan. Tanpa pengetahuan ini, anda pasti akan kecundang.


Tidak mempunyai Renti Rugi (Stop Loss) 
Walaupun anda 100% pasti dengan sasaran keuntungan anda, lebih baik jika anda pasangkan Renti Rugi. Pasaran Forex sangat meruwap, dan berita boleh membuat pasaran tunggang terbalik. Pada bulan Januari 2015, Bank Nasional Switzerland secara tiba-tiba menggugurkan tambatan nilai franc melawan euro, lantas EUR/CHF menjunam 30%. Peristiwa ini membuatkan semua orang terkejut. Ramai pedagang yang tidak memasang pesanan Renti Rugi mengalami kerugian besar. Jika anda tidak mempunyai Renti Rugi, anda mungkin terlepas dari terjebak dengan penyongsangan yang menjerumus kepada bencana.

Membesarkan lagi dagangan yang kerugian
Ada waktu-waktunya, para pedagang sangat yakin dengan sasaran perdagangan mereka, sehingga mereka jadi buta tidak dapat melihat realiti. Bayangkan jika anda membuka satu pesanan beli, tetapi pasaran bergerak ke bawah. Anda, bagaimana pun, sangat yakin anda telah membuat perkara yang betul lantas membesarkan lagi saiz posisi anda dengan harapan harga akan berpatah balik ke atas tidak lama kemudian. Di dalam situasi seperti ini anda hanya menggandakan kerugian. Jika anda mempunyai posisi aktif, anda kehilangan keupayaan untuk membuat pertimbangan yang tidak bias dan tindakan anda menjadi kecamuk. Kesimpulannya, jangan pernah membesarkan lagi dagangan yang kerugian. 
Perkara yang sama berlaku bila seseorang pedagang mengurangkan jarak Renti Rugi sewaktu dagangan tidak menguntungkan, supaya dagangan tidak ditutup dengan kerugian. Berpegang teguhlah dengan keputusan awal anda. Jika tidak, kerugian anda akan menjadi lebih besar. Jika ia keputusan yang salah, analisa di mana silapnya selepas dagangan ditutup, belajar dari dagangan ini dan gunakan pengetahuan ini untuk membuat dagangan yang lebih baik di lain kali.


Pengurusan risiko yang lemah
Para pedagang yang tidak menguruskan risiko mereka, berisiko kehilangan segala-galanya. Para pedagang tidak boleh fikir tentang keuntungan sahaja. Anda harus selalu mengira berapa banyak wang yang anda berisiko untuk hanguskan bagi setiap dagangan dan setiap hari. Jika anda kawal potensi kerugian anda agar tidak melebihi had tertentu, anda akan mampu bertahan di dalam pasaran untuk suatu masa yang lama, seterusnya mempunyai lebih banyak peluang untuk mengaut keuntungan. Pegang teguh kepada peraturan: risikokan 1% per dagangan. Jangan biarkan apa-apa melalaikan anda dari peraturan ini.


Mengabaikan pengumuman berita
Setiap pedagang tahu bahawa peristiwa-peristiwa dan pengumuman data-data memberi kesan kepada pasaran Forex. Jika indikator ekonomi sebenar berbeza dengan aras yang diunjurkan, pasangan matawang menjadi meruwap. Hasilnya, semua pedagang, walaupun mereka yang memilih untuk tidak berdagang ketika berita, mengambil kira berita dalam pertimbangan mereka. Mengabaikan berita adalah satu kesilapan serius yang boleh dielakkan dengan mudah jika anda merancang perdagangan anda dan merujuk kepada kalendar ekonomi.

Mendagangkan pasangan yang berkorelasi
Para pedagang sering cuba untuk membuat beberapa dagangan harian (day trades), tetapi ramai yang tidak mengambil kira tentang korelasi matawang. Sekali pandang, ia tampak seperti peluang yang baik untuk membuat wang dengan berdagang beberapa pasangan, tetapi awas: jika anda nampak setup dagangan yang sama di beberapa pasangan, kemungkinannya tinggi mereka berkorelasi. Jadi ini bermakna anda sama ada menang semua atau kecundang dalam semua pasangan sekali gus. Sebagai contoh, USD/CHF dan USD/JPY mempunyai korelasi langsung yang besar: bila USD/CHF menaik, USD/JPY akan menguat juga. Jadi bila anda beli kedua-dua pasangan dalam masa yang sama, anda menggandakan risiko anda.

Cuba membalas dendam kepada diri sendiri 
Kerugian adalah sukar bagi sesiapa sahaja, terutama sekali newbies, jadi mereka cuba untuk membalas dendam kepada pasaran. Biasanya dagangan dendam kesumat 2-3 kali lebih besar dari dagangan sebelumnya yang kerugian. Natijahnya, mereka rugi lebih banyak lagi. Yang namanya kerugian itu memang tidak boleh dielakkan. Fokuskan tenaga bukan kepada perdagangan dendam, tetapi pada menganalisa dagangan yang tidak berjaya dan perbaikinya di masa hadapan.


Kurang pendidikan
Kekurangan pendidikan menjerumus kepada kerugian dan menjadikan kita buta. Jika anda mahu dagangan-dagangan yang menguntungkan, anda harus sentiasa perbaiki kemahiran anda. Jika matlamat anda adalah untuk menjadi pedagang yang berjaya, baca buku-buku pendidikan, belajar indikator-indikator baru dan berlatih dengan strategi-strategi baru.
Sebagai kesimpulan, anda pasti akan melakukan kesilapan ketika berdagang. Ada satu lagi mutiara kata:
"jika anda tidak melakukan kesilapan, anda sedang tidak melakukan apa-apa".
 Sungguh pun begitu, jika anda mengelak dari melakukan kesilapan-kesilapan yang disebut di dalam artikel ini, perdagangan anda akan berjaya dengan lebih pantas.